
maafkanku sahabatku
untuk ke sekian kalinya kita tidak mampu bertemu..
mungkin sudah takdirnya..
perpisahan kali ini agak lama..dan membosankan..
aku tahu..
mungkin boleh jadi kau mula jelak dengan alasanku..
namun tidak mampu oleh kudrat ku sahabat..
untuk menolak takdir ini..
suka duka kita kongsi bersama..
hingga saat ini..
sekalipun tidak pernah aku berdusta denganmu..
segalanya ku luahkan..
agar tidak kau merasa jauh dariku..
tali persahabatan yang sama-sama kita simpul..
akan tetap utuh buat selamanya..
sahabat kesayanganku,
andai kau teringatkan aku..
ingatlah..
cuma jarak yang memisahkan
tapi aku takkan jauh darimu..
aku memang sayang padamu seperti dahulu..
takkan berubah,
bukan seperti pantai yang berubah tika dilanda ombak
tapi seperti seteguh binaan langit ciptaan Allah kasihku untukmu.
ya Allah..
tatkala bahang mahsyar-Mu menjilat tubuh
izinkan kami sama-sama berteduh
tatkala mizan-Mu teliti mengira
beratkan neracanya atas setiap jasa
naungi kami di sana
berkati kasih kerana-Mu
ya Allah
andai ku layak menapak di syurga-Mu
kupinta sahabat-sahabatku bersama-samaku.
Amin ya Rabbal'alamin.
p/s: salam sayang pada sahabatku semua.
Isnin, 14 Disember 2009
Maafkan aku sahabat..
Posted by AISJU at 8:20 PG 0 comments
Selasa, 8 Disember 2009
Gambar & Wanita di Internet

Gambar & Wanita di internet
MUQADDIMAH
Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
MUSLIMAH & GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?
Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.
Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya,
penyakit hati.
Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!
Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!
PENYELESAIANNYA….
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?
Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.
Wallahu A’lam..
Posted by AISJU at 8:53 PG 1 comments
Selasa, 1 Disember 2009
Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa
Kau medan ilmu
buat pejuang-pejuang muda
yang masih mentah
muslihat dunia
kau tanamkan seribu ketahanan
dalam merintis hari kemudian.
SMADHM,
Kau bukan melahirkan robot
Robot yang bekerja untuk dunia semata
Tapi..Kau melahirkan manusia
....yang sebenar manusia
Tahu matlamat dan kendiri.
SMADHM,
Walaupun kau telah usang pada usia,
namun tidak pada jasa
kau terbitkan kegagahan
pada diri anak bangsamu
agar ..kebal di persada dunia.
SMADHM,
Kau ibarat sumbu menerangi
bukan hanya jalan dunia
jua pada jalan menuju DIA.
SMADHM,
Kasihku tidak ternoktah di sini
walau jasadku tiada mengisi..
kerna daku harus pergi..
berdikari..
namun cintaku kan tetap
Mewangi
dan tumpah di hati
bak hujan yang tak henti
SMADHM,
Kenangan bersamamu
kan tetap mekar
kan ku susun di halaman jiwa
agar berseri sentiasa
untuk selamanya.
Posted by AISJU at 12:30 PG 0 comments
Selasa, 24 November 2009
Selasa, 10 Februari 2009
Mencari Nur Tuhan
Sahabat..
dalam meniti hidup yang penuh dengan kerakusan duniawi,
berikanlah ruang untuk imanmu bernafas selesa,
jangan kau sempitkan ia,
kelak sampan kehidupan yang kau naiki,
sesat arah tujuannya.
jadikan jua ilmu sebagai pendayungmu,
moga jalan yang kau lalui adalah jalan menuju redha Ilahi.
sahabat...
sama-samalah kita mencari nilai diri kita
adakah jalan yang kita pilih adalah jalan Junjungan Mulia kita
atau kita sendiri tidak pernah ambil peduli
mana arah yang perlu diambil untuk hidup kita?
sahabat..
ku lihat tandus gurun salju
daun hijau kering nan luruh
lautan enggan menyapa ombak
mentari enggan menghias wajah
alam merintih kelukaan
rindukan madah nan suci
dari Penguasa Arasy yang Tinggi
sahabat..
wangikan cinta-Nya
sarungkan pakaian akhlak
labuhkan selendang iman
hiaskan keperibadian unggul
putihkan wajah maruah
lebarkan senyum taqwa
melangkah bersama cita
menuju destinas
i barakah.
Posted by AISJU at 5:53 PTG 0 comments
Isnin, 17 November 2008
Nurani: Hati raja kerajaan diri
SETIAP kerajaan mempunyai ketua atau raja. Bagi kerajaan diri, rajanya ialah hati dan kerana itu ia perlu dipelihara sebaik-baiknya, diberikan pendidikan dan asuhan sebegitu rupa, supaya kerajaan yang ditadbirnya dalam keadaan baik.Begitupun, hati mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Ketika akal mengambil peranan sebagai penasihat, hati menjadi baik kerana pertimbangan dapat dibuat seadil-adilnya, tetapi apabila nafsu menjadi penasihat, hati turut berubah menjadi jahat.Ketika hati menjadi raja kepada sistem kerajaan diri, anggota fizikal yang lain, seperti mata, telinga, mulut, tangan dan kaki adalah rakyat yang perlu mengikut segala perintah dan peraturannya. Jika hati memerintahkan perkara baik, anggota badan sebagai rakyat mengikut saja perintah berkenaan, turut melakukan perkara yang baik, tetapi apabila hati memerintahkan kejahatan, jahatlah perbuatan dilakukan anggota badan. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Di dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itulah hati."Hati mempunyai keistimewaan berbanding anggota yang lain. Ia adalah raja yang luar biasa, mahu tidak mahu kena ditaati rakyatnya. Disebabkan ada hatilah manusia dapat mentadbir dan menjalani sistem kehidupan di alam maya ini.Di dalam hati bersifat tersembunyi, pemimpinnya juga tersembunyi. Malaikat memimpin hati dengan benda yang datang daripada Allah manakala syaitan memimpin hati dengan benda yang datang daripada iblis.Walaupun pada hakikatnya semua perlakuan daripada Allah, tetapi kita sandarkan perkara jahat kepada syaitan manakala perkara baik daripada Allah. Dari Allah semestinya tepat lagi benar manakala daripada syaitan adalah kekufuran dan tidak baik.Orang selalu mengatakan kulit luaran sangat sensitif kepada sesuatu, tetapi sebenarnya hati yang berada di dalam diri lebih peka, sama ada pada perkara positif atau negatif. Hati akan cepat terasa dan cepat tersinggung, malah dengan tiba-tiba juga boleh hilang semua perasaan itu.Kadangkala disebabkan manusia tidak meneliti perjalanan hati di dalam diri, mereka berasa sudah cukup baik dan tenang, sedangkan hakikat adalah sebaliknya, kerana sebaik saja datang cabaran atau rangsangan dari luar, hatinya mudah cair, goyah dan tidak lagi tenang.Contohnya, apabila anda dimarahi, anda berasa mahu memarahi kembali orang terbabit. Ini menunjukkan anda mempunyai sifat pemarah. Apabila tiada rangsangan itu, anda merasakan tiada sifat pemarah dan hati sudah berkeadaan baik.Walaupun hati manusia cuma satu, tetapi kerana pelbagai cabaran mendatang, timbul pelbagai perasaan dan kesedaran. Seseorang yang berjaya akan berasa bangga atau riak dan ego dengan kejayaan itu dan ada juga berasa syukur, malah malu kepada Allah. Pada waktu itulah hati yang sensitif akan sedar.Jika hati tidak sedar dia sudah berbuat baik, ia adalah sifat terpuji kerana tidak berbangga dengan kebaikan itu. Tetapi jangan pula sehingga hati tidak bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya manusia dapat melakukan kebaikan.Perkara paling buruk ialah apabila hati tidak sedar ia sebenarnya jahat. Hati tidak sedar rangsangan yang datang membuatkan ia bangga atau ego.Lebih berbahaya apabila hati yang jahat dianggap sebagai hati yang baik, tidak sedar kejahatannya dan tidak cuba untuk berubah dengan bertaubat atau melakukan muhasabah, bahkan terus berbuat jahat kerana berasakan dirinya dalam kebaikan.Kemudian, rasa hati terbahagi kepada dua dan kedua-duanya adalah benih yang ditanam Allah ke dalam hati manusia. Ini adalah fitrah semula jadi, yang lahir bersama manusia, cuma sama ada ia subur atau terbantut bergantung kepada usaha manusia sendiri.Contohnya di kebun, benih jagung sudah ditanam dan terpulang kepada petani untuk menyiram, memberikan baja dan menjaganya. Apabila benih itu baik, tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh atau terbantut. Begitu juga dengan hati.Fitrah baik manusia apabila tidak disuburkan dari awal kemungkinan mati akhirnya. Sebaliknya, jika peringkat awal disuburkan ia akan berakar umbi di dalam hati sehingga dengan mudah hati menjadi baik.Apabila sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih yang terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga.Perasaan positif pada hati boleh terbantut apabila dari kecil individu itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Dia terpaksa menempuhi kesukaran untuk menyuburkannya.Benih yang positif dijaga dan disuburkan dari peringkat awal akan terus subur dan tidak perlu bersusah payah lagi apabila dewasa. Tetapi perasaan negatif sejak kecil sukar disuburkan, sukar untuk ditebang apabila sudah dewasa, ibarat pohon yang sudah teguh.Antara benih positif ialah perasaan kasih, penyayang, simpati, lemah lembut, pemurah, sopan, rendah hati, hormat, taat, baik sangka, reda dengan ketentuan dan sabar dalam menghadapi cabaran hidup manakala benih negatif ialah rasa benci, pemarah, besar diri, bangga, dendam, dengki, khianat, bakhil dan suka menabur fitnah. Jadi, manusia sudah semestinya perlu berusaha menyuburkan sifat positif dan memadamkan sifat negatif sekiranya mahu kepada kejayaan, ketenangan dan keselesaan. Apabila sifat positif tumbuh subur, secara tidak langsung benih negatif terbantut atau terus padam. Dari situ, hati sebagai raja kepada kerajaan diri mula disinari dengan kebenaran dan kesucian, malah segala tindakan yang bakal dilakukan oleh rakyatnya terdiri daripada anggota badan yang lain juga adalah tindakan yang mulia lagi terpuji.
Posted by AISJU at 8:57 PTG 0 comments
